Documentary: Heart Of Taiko

Documentary: Heart Of Taiko
Dir. @Shamyl Othman
(Malaysia-Japan, 2015)

Dokumentari ini buat kita berbangga dengan 3 gadis muda tempatan dari Penang berdarah kacukan Jepun-Cina yang menyahut cabaran misi ke Jepun bagi menguasai seni Taiko yang mereka minati. Kalau tak diberitahu, mungkin tak ramai yang kenal apa itu ‘Taiko’. Pasti kita akan meneka dengan jawapan pantas bahawa ia adalah kongsi gelap yang menakutkan dan sering dikaitkan dengan keganasan.

Oh tidak!

Taiko adalah sebuah alat perkusi yang direka dalam pelbagai bentuk dan menghasilkan pelbagai not bunyi bila digendangkan. Ia punyai ciri-ciri halus yang bercitrakan negeri matahari terbit dan berusulkan sejarah seni-budaya dari Ishikawa, Jepun. Selain menjadi alat muzik penting dalam budaya di sana, ia juga dipercayai bertindak sebagai perantara untuk berhubung dengan Tuhan. Sejak asal, Taiko hanya dimainkan oleh para lelaki muda dan tua sahaja kerana menganggap wanita itu kotor dan tak layak mengendalikan Taiko. Wanita dilarang bermain Taiko, sehinggalah gerombolan wanita-wanita mula memecahkan tradisi.

Itu di Jepun. Apa pula kaitannya dengan 3 gadis Malaysia ini, sampai layak didedikasikan sebuah dokumentari kepada mereka?

Ia soal legasi dan warisan. Darah nenek moyang Jepun dalam diri mereka bertiga sangat kuat sehingga dirasai lewat kesungguhan mereka menghidupkan warisan budaya Jepun di Malaysia. Ia juga tentang bagaimana sofistikatednya budaya kita yang menerima masukan pelbagai elemen luar yang indah. Sejarah kebudayaan Jepun yang berlingkar dan punyai tempat penting di hati rakyat jelata sejak zaman awal kurun 20 begitu mengikat rakyat Malaysia untuk turut berasa bangga terhadap usaha 3 gadis ini.

Demi mempertingkat kemahiran, 3 gadis ini menyerahkan tengkuk kepada pakar Taiko yang handal dan para lagenda-lagenda hidup dari tempat lahirnya seni Taiko itu sendiri. Ia tidak datang dengan harga yang murah, bahkan, seluruh jiwa dan raga perlu diserahkan demi ‘menjemput’ roh Taiko masuk, lalu, tersemat berdamping beraksi bersama.

Kegigihan pasti membuahkan hasil, jika, kena dengan gaya dan niat yang dihasratkan serta tulus penghormatan yang dipersembahkan.

Bersempena Festival Filem Jepun 2018, sekali lagi dokumentari ini ditayangkan kepada umum di layar lebar.

#KongsiFilem
#FestivalFilemJepun2018
#jff2018