Apabila sesebuah filem diniatkan untuk mengangkat hal-hal kewanitaan (tak kisahlah apa kelibat genre yang muncul), ia perlulah memaparkan wanita itu sedang berada dalam juang hidup yang lelaki tak faham melainkan bila difahamkan melalui naskhah terbabit. Jika yang diceritakan itu boleh bertukar ganti jantina (erti kata, jantina apa saja pun yang diletak, ceritanya boleh jadi sama), maka, tidaklah ia menjadi filem yang ada juang wanita.

PERJUANGAN WANITA MENJAGA KEBERSIHAN

Dalam Gol & Gincu Vol.2, juang yang saya dapat perhatikan adalah juang menjaga hygiene. Filem ini secara tidak sedar memaparkan rutin wanita dalam menjaga hygiene mereka.

Maksud saya begini. Babak yang melibatkan wanita perlu pergi ke tandas, wanita perlu menukar pad dan hal-hal wanita yang terkait dengan keadaan fisiologinya itu wujud dalam paparan yang signifikan secara tak sedar. Aksi tersebut mungkin tak menolak cerita ke hadapan tetapi berfungsi penting dalam menjentik minda separa sedar masyarakat bahawa lelaki selama-lamanya (sampai kiamat) akan kalah dengan perjuangan wanita pada satu perkara.

Apakah being a man is a curse? Tidak. Cuma, menonton dan mengupas perkara sebegini hanya mendorong kepada berkuranglah lelaki yang berlagak paling berjasa dan hanya layak diangkat sebagai lagenda dalam juang hidup.

Ibaratnya begini, apabila ada seorang pelari wanita itu memenangi emas dalam pecutan balapan, itu bermakna pelari itu memanjat podium dengan juang beberapa hari menguruskan darah haid. Lelaki mungkin sambil lewa tak akan ambil pusing hal ini. Bahkan, wanita juga sudah terbiasa dengan keadaan fisiologi ini sehingga terlupa ia adalah satu juang.

BABAK SENGGUGUT YANG LELAKI TAKKAN FAHAM

Babak ‘period pain’ yang ditampilkan tersebut telah saya sahkan kembali dengan Pengarah bahawa ia hadir secara organik dan bukan sengaja diletakkan untuk mengajar-ajar penonton. Ada juga babak bercakap-cakap yang dimulai dengan pergi ke tandas, diselangi ke tandas dan ada yang diakhiri ke tandas. Jika pengarah filem ini bukan wanita, saya sangsi babak-babak akan dibina sebegitu rupa. Pasti, ada beza sentuhan penceritaan visual lelaki dan wanita.

Biarpun saya masih cintakan Gol & Gincu versi Bernard Chauly terdahulu berbanding versi Umi Salwana Omar, saya masih waras dan terdorong untuk mengangkat observasi hygien ini. Tak dinafikan, saya hampir-hampir seksis berpendapat bahawa filem wanita yang bagus adakala perlu diarahkan oleh lelaki untuk mendapatkan hasil yang bagus. Namun, apabila saya cuba menilai setiap naskhah itu dalam bingkai dan masanya tersendiri, saya dapat rasakan lebih mudah untuk berlaku adil ketika memberi apresiasi.

Observasi tentang hygiene, tandas dan pad ini adalah kepuasan bagi saya dari beberapa perkara manis untuk direnung dan pastinya dari bertingkat perkara jelik yang buat saya canggung. Ya! Terlalu banyak perkara yang boleh buat saya tidak menyukai filem ini, namun, saya bersinggah di kotak transit observasi ini untuk memberikan penghargaan. Setelah mendapatkan kepastian tentang mengapa gaya pengarahannya sebegitu rupa, saya berpuas hati untuk mengangkat objek pemerhatian ini sebagai sebuah kelebihan.

Jika menonton filem luar, mungkin saya tak angkat ia sebegini rupa. Ini semata-mata kerana filem ini berjenama Malaysia dan observasi sebegini penting untuk disinggung di kalangan masyarakat. Kenapa darah haid dianggap sebagai kehinaan, dan bukannya perjuangan?

GALAKAN PENGHASILAN FILEM WANITA TEMPATAN

Jika mahu bikin filem wanita, maka, berceritalah tentang wanita itu. Lelaki mahu tahu! Melalui Gol & Gincu Vol.2, kita dapat tahu… walaupun sedikit. Ya! Sedikit. Itulah yang perlu dicabar para pembikin filem lain. Bawa datangkan filem wanita tempatan lain yang lebih padu lagi dan lagi.

Sampai bila?

“Sampai abang jamil mampos”, kata Ani.