Selain laporan media dari Sinar Harian dan Harian Metro, iM4U fm turut sama membuat liputan berkenaan Diskusi Autisme dan Tayangan Filem Redha oleh Buka Panggung. Beberapa orang wakil iM4U telah hadir pada hari terakhir program bagi memberi sokongan bersama dalam menggalakkan kesedaran Autisme sepanjang April ini. Sesi bertukar pendapat bersama Pengarah Filem; Tunku Mona Riza dan Pengurus Inisiatif Sokongan Autisme Nouri – Insani turut disertai Komuniti Perwani Shah Alam. Ia adalah sebuah inisiatif untuk mengajak anak muda bersama prihatin tentang masa depan keluarga Autisme.

“BUKA PANGGUNG – Filem Sebagai Medium Memberdaya Ilmu Dan Penyatuan Komuniti”

im4u Buka Panggung

MENYEDARI betapa pentingnya sokongan masyarakat umum terhadap Autisme dan kepelbagaian sifat anak-anak, Visi Mantap Sdn Bhd yang merupakan syarikat penyedia latihan pembangunan masyarakat, terpanggil untuk merancakkan sambutan Bulan Kesedaran Autisme 2018, sepanjang April ini agar keprihatinan bersama dapat dipupuk di kalangan komponen masyarakat.

“It takes a village to raise a kid.”

Mesej ini seharusnya disebarkan kepada khalayak umum dengan saluran yang menarik dan meyakinkan lantas Visi Mantap Sdn Bhd menubuhkan platform BUKA PANGGUNG sebagai sebuah ruang untuk penayangan filem memberdaya ilmu dan semangat komuniti.

Melalui tayangan filem, diskusi akan dijalankan bersama penonton sebagai refleksi tanggungjawab dan peranan masing-masing di atas kapasiti sendiri untuk meningkatkan pemberdayaan masyarakat.

Bermula dengan meraikan Bulan Autisme, tayangan Filem Redha telah pun berlangsung selama 4 hari berturut-turut, dari 11 hingga 14 april yang lepas. Inisiatif sosial ini merupakan sumbangan setiap komponen penganjur dalam berkhidmat kepada masyarakat.

Menurut Muhamamd Thaaqhib Mohammed, wakil daripada Visi Mantap Sdn Bhd;

Kami berusaha mengaitkan jalinan dan mendapatkan sokongan pelbagai pihak untuk turut meraikan bersama. Jualan tiket diwujudkan atas niat mewujudkan nilai komitmen terhadap pemberdayaan isu ini. Kutipan tersebut diagihkan bagi menampung kos-kos asas serta disalurkan kepada rumah penerima manfaat yang diraikan. Pun begitu, tiket tersebut tidak mandatori, bahkan, ia tertakluk kepada kemampuan penonton untuk menyumbang.

Tambah mereka lagi, perkara yang lebih penting adalah kebersamaan semua pihak dalam merancakkan sambutan Bulan Kesedaran Autisme, seterusnya menjana tindakan-tindakan positif di masa hadapan.

Diskusi Autisme dan Tayangan Filem Redha merupakan permulaan pemberdayaan Ilmu di atas platform BUKA PANGGUNG. Mereka berhajat meneruskan inisiatif sosial ini dengan lebih bersemangat atas sokongan semua pihak.

Visi Mantap Sdn Bhd mengalu-alukan kerjasama dan sokongan semua pihak dalam menjayakan inisiatif sosial ini. Klik di SINI untuk ke laman rasmi Facebook mereka bagi maklumat lebih lanjut.

Sumber: iM4U fm

Kami dari Buka Panggung ingin mengucapkan tahniah kepada iM4U atas semangat menjadi wakil anak muda yang sanggup meluangkan masa menghadiri dan membuat liputan mengenai diskusi Autisme dan tayangan filem Redha ini bagi mencapahkan lagi kesedaran membantu keluarga Autisme di Malaysia.

Benarlah kata-kata orang bijaksana;

“It takes a village to raise a kid.”