MERKU THODARCHI MALAI - THE WESTERN GHATS

MERKU THODARCHI MALAI – THE WESTERN GHATS
Dir. Leninbarathi
(India, 2018)

Pengungsian tidak semestinya berpunca daripada bencana alam ataupun peperangan yang meragut peluang hidup. Tanpa kita sedar, ramai juga orang miskin yang terpaksa mengungsi akibat kalah bersaing dengan kemajuan dan pembangunan janaan kapitalisme. Tanah tempat mereka bersama-sama meraih rezeki dan dipuja-puja itu, rupa-rupanya tidak lebih dari sekadar lot-lot yang boleh berpindah milik dan bertukar tuan sekelip mata.

Sedikit sebanyak, inilah apa yang cuba Leninbarathi sampaikan melalui filem yang menjadi wakil kepada penduduk-penduduk miskin di Banjaran Gunung Barat; yang menjadi tulang belakang kepada negara India.

MERKU THODARCHI MALAI - THE WESTERN GHATS

Biarpun persempadanan Kerala dan Tamil Nadu itu nun jauh di Tanah Besar India, Pengarah Leninbarathi tetap tegar menyuarakan kesengsaraan rakyat miskin di sana agar dapat menyinggung keprihatinan dunia secara bermaruah. Apa yang beliau gambarkan melalui filem Merku Thodarchi Malai menjadikan dugaan yang dialami para penduduk sekitar pergunungan tersebut amat dekat di hati penonton. Ia sebuah persembahan yang membuka mata hati dan menjentik sebak di dada.

Kita mengikuti kisah seorang pemuda, Rangasamy, malim gunung yang punyai impian ingin membeli tanah dan berusaha keras untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Kita dibawa mengenali landskap sosio-ekonomi di pergunungan Western Ghats yang terdiri dari petani, peraih hasil tanaman, pekerja ladang, pemilik ladang dan ahli politik yang berfahaman komunis. Ketika penonton sudah mula jatuh cinta dengan keharmonian hidup di pergunungan tersebut, Pengarah menghalakan tontonan kepada jalan sempit penuh dugaan bertalu-talu bertitik-tolak dari pengamalan kapitalisme yang mencengkam dan percaturan politik yang mengecewakan. Satu persatu harta dalam genggaman hilang sehingga akhirnya meletakkan mereka akur terduduk dalam lingkaran keterpaksaan hidup di bumi yang bukan lagi milik mereka.

MERKU THODARCHI MALAI - THE WESTERN GHATS

Kisah fiksyen yang cuba menjadi cermin realiti ini dihasilkan begitu jujur terhadap situasi tanpa bertaruh kepada saduran komersial. Suara yang dijeritkan di bukit harapan berkabus ini disambut penuh bersemangat oleh pelbagai pihak. Filem ini telah diraikan dengan begitu memberangsangkan di pelbagai festival filem antaranya 12th International Film Festival of Thrissur, 17th New York Indian Film Festival, Bioscope Global Film Festival, Punjab dan lain-lain penghargaan serta pencalonan. Ini sedikit sebanyak memberi nafas kepada filem ini yang tidak berhasil meyakinkan panggung komersial untuk tayangan besar-besaran.

Pun begitu, Pengarah gagah mengemudi pasukan produksi menyampaikan kisah penting kemanusiaan ini dengan jayanya. Biarpun ini adalah filem pertama yang diusahakannya, segala kekangan dan keterhadan tampak mudah ditewaskan dengan kesungguhan pasukan menerbitkan filem sebegini penting. Kerja kameranya membanggakan biarpun penggambaran dilakukan nun jauh ke atas gunung dengan teknikaliti yang minimal. Teknik pencahayaan yang bergantung hampir 100% kepada sumber semula jadi menjadi cabaran besar yang gagah diatasi. Penglibatan sebagai pelakon dari kalangan penduduk kampung yang bekerja sebagai buruh ladang menambah cabaran pasukan produksi untuk menyampaikan penceritaan. Kepercayaan mereka diraih dengan cara perhubungan dan adaptasi terhadap budaya dengan begitu organik. Filem ini benar-benar merakam peristiwa dan rasa di sekitar pergunungan tersebut dengan begitu adil serta jujur.

MERKU THODARCHI MALAI - THE WESTERN GHATS

Tidak semata-mata bergantung kepada olahan dialog dan babak-babak yang menggerakkan cerita, Pengarah faham benar-benar bagaimana menyampaikan cerita dengan bahasa yang diterjemahkan melalui visual. Peluang merakam setiap sisi pergunungan itu tidak disia-siakan semata-semata sekadar rakaman panorama cantik, bahkan, dimanipulasikan dan diberi pelambangan yang menjemput intrepretasi berfalsfah mendalam. Hubungan gunung dan tanah kepada manusia terikat kuat apabila digambarkan dengan karakter yang hidup biarpun ia adalah jasad jumud yang tidak bernyawa. Pengarah mengepung bingkai dengan gerakan aksi dan aturan misc-en-scene yang memaknakan setiap babak; yang secara keseluruhannya mendokong juang rakyat miskin dalam kesempitan ingin keluar dari belenggu kefakiran.

Apabila filem ini ditutup dengan sebuah pemandangan yang membuatkan penonton terkatup mulut sebak, Pengarah memastikan visual itu kita ingati terang-terang, lalu, menyumpah penonton seumur hidup mengimbau kesengsaraan penduduk miskin. Pengarah memastikan jiwa penonton tersentak luluh akibat tidak mampu membuat apa-apa terhadap kesengsaraan di depan mata.

Merku Thodarchi Malai – The Western Ghats (2018) adalah sebuah filem fiksyen penting mengupas isu kemanusiaan dan pengungsian kejam yang dilupai hampir keseluruhan penduduk dunia dek halusnya suara mereka yang tertindas. Mungkin melalui filem ini, sekurang-kurang sekalung doa boleh dititipkan buat mereka semua yang miskin dan terungsi dari tanah sendiri.

#KongsiFilem
#FilemPenting
#BukaPanggung