Hanya ada 3 keadaan untuk kita benar-benar memahami sesuatu dugaan; sama ada kita sendiri yang diuji dengan dugaan tersebut, atau kita bersahabat dengan orang yang diuji secara rapat, atau kita jenguk ke dalam jendela keperitan hidupnya melalui medium lain (sebagai contoh; seperti menonton filem).

Lalu, ketika mana setiap tahun bulan April diangkat menjadi bulan Autisme sedunia, bagaimana masyarakat umum berpeluang mengetahui lebih mendalam tentang Autisme? Bagaimana mahu merasa empathy terhadap keluarga Autisme jika kita langsung tidak pernah berada di dalam kasut perjuangan hidup mereka. Apatah lagi nak berbangga dengan sifat redha dan ketabahan hati serta keredhaan yang terpupuk hasil dari cengkaman dugaan Anak Syurga tersebut?

Maka, pilihlah untuk menjenguk ke jendela hidup mereka melalui filem. Ada pelbagai filem yang pernah dibikin. Menonton Temple Grandin (2010) membuatkan kita kagum dengan jati diri anak Autisme. Berhibur lewat My Name Is Khan (2010) buat kita tersenyum dengan keazaman Anak Syurga ini. Duduk terpaku depan Tomorrow Is Another Day (2017) buat kita sebak betapa perhubungan ibu dan bapa itu begitu penting dan kritikal buat pembangunan jiwa sangat anak.

Bagaimana pula dengan Filem Redha (2016) arahan Tunku Mona Riza?

Redha mengisahkan perjalanan diri Razlan dalam menanggapi anugerah Allah yang sangat istimewa; anak austistik Danial. Razlan lakonan Namron pada awalnya ‘in denial’ terpaksa berdepan dengan mimpi ngerinya di depan mata sehinggalah dia mampu menerima kurniaan Tuhan itu dengan penuh redha setelah melalui pengalaman hidup yang mematangkan perasaan dan jiwanya.

Redha (2016) membawa penonton menghayati perjalanan seorang ayah yang begitu meruntun hati. Keegoaan ayah adalah pengamatan biasa ketika mana mula mengetahui keadaan anak yang diuji. Selain mencari nafkah keluarga, seorang ayah perlu menjadi tunjang kebergantungan keluarga dalam mencapai makna bahagia. Dan, kebahagiaan itu perlu bersama-sama dipupuk dan dijemput. Bukan saling menunding jari atas keruntuhan payung rahmat dalam keluarga.

Ada 5 fasa pengalaman yang dilalui Razlan dalam filem Redha:

  1. Penafian
  2. Pencerahan
  3. Penerimaan
  4. Penyerahan kepada Takdir
  5. Keredhaan

Ia sebuah penceritaan yang begitu indah dalam menjemput empathy masyarakat kepada dugaan getir yang dilalui watak-watak yang terlibat. Razlan yang pada awalnya berada dalam state of denial (Fasa 1), dipandu Ilahi dengan ‘cahaya’ pencerahan hidayah melalui ruang ‘luka ujian’ kematian isterinya (Fasa 2).

Lalu, bertitik-tolak daripada itu, suatu kejadian luar biasa telah ‘menarik’ Razlan yang ‘kelemasan dalam dilemanya’ untuk menerima Danial seadanya (Fasa 3). Namun, Razlan terus diuji bagi mempastikan keteguhan hatinya, lalu, mengangkat penyerahan kepada Takdir Yang Maha Esa (Fasa 4). Hanya setelah benar-benar lulus ujian, barulah sinar REDHA itu melimpah ke tubuh jiwa Razlan dalam menyambut ‘kemenangan’ anugerah Allah.

Menonton filem berkenaan Autisme benar-benar dapat menambahkan kefahaman terhadap suka, duka dan cabaran hidup sebagai seorang Bapa dan juga ahli keluarga kepada Anak Autism. Apatah lagi, kita juga dapat melihat diri kita sebagai ahli masyarakat yang wajar bertindak demi membesarkan Anak-Anak Syurga ini secara beramai-ramai.

Lebih dari itu, kita sedikit sebanyak dapat berfikir secara waras dalam bertindak balas dengan respon-respon negative yang sering tular di kalangan masyarakat yang tidak terdidik dengan keprihatinan terhadap kepelbagaian sikap serta tabiat anak-anak. Kita jadi tidak mudah percaya dengan mitos-mitos yang sering dikaitkan dengan Autisme. Bahkan, kita menjadi orang yang dapat sentiasa merasakan perjuangan hidup mereka.

Bulan April setiap tahun, adalah peluang yang sangat baik untuk anda kembali menjenguk jendela ini, agar semangat-semangat yang pernah disumbukan dahulu, kembali dinyalakan. Biarkan kita sama-sama dapat melihat bahawa sifat Redha keluarga terhadap keadaan Anak Autism itu sebenarnya adalah kebanggaan dalam diri yang dipupuk hasil cengkaman dugaan yang ditangani bersama.

BUKA PANGGUNG bakal menganjurkan diskusi Autisme berdasarkan filem Redha April ini seperti jadual di bawah:

Rabu      : 11 April 2018
Khamis  : 12 April 2018
Jumaat   : 13 April 2018
Sabtu     : 14 April 2018

Tayangan filem Redha bermula jam 8.30 malam setiap malam tayangan, bertempat di NC Space, Seksyen 13, Shah Alam. Ayuh hadir dan raikan tontonan dan kembali segarkan aktivisime kita dalam menyantuni Anak-Anak Autisme dengan lebih kefahaman dan penuh perasaan.

Hubungi 018 3163846

Atau klik

BUKA PANGGUNG menunggu dan meraikan kehadiran anda!