MySuara fm Buka Panggung

Sebelum berlangsungnya tayangan filem Redha dan diskusi Autisme yang dianjurkan oleh Buka Panggung, MySuara fm telah membuat satu temuramah khas di antara DJ Radio Puan Zahira dengan Encik Thaaqhib Mohammed merangkap wakil penganjur program syarikat Visi Mantap Sdn. Bhd. dan Saudara Mohd Lukman Nurhakim Bin Kamazan yang merupakan presiden Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP). Temuramah ini adalah bukti sokongan dan sambutan baik dari MySuara FM dan PPIWP terhadap penganjuran program ini.

Di dalam temuramah panjang dalam segmen khas Patah Sayap  Bertongkat Paruh pada Khamis, 5 April 2018 jam 2.00 petang ini, Encik Thaaqhib Mohammed telah menyentuh isu kapasiti orang awam yang sepatutnya menjadi pendokong kepada keluarga Autisme.

“Agak sukar untuk kita benar-benar menyelami perjuangan Autisme ini, kecuali melalui beberapa inisiatif iaitu antaranya ialah menonton filem berkenaan Autisme yang boleh menolak kita sebagai orang umum untuk bertindak”, katanya.

Puan Zahira pula ada melontarkan persoalaan kepada Encik Thaaqhib bahawa masyarakat sering bertanya-tanya apakah punca sebenar berlakunya Autisme, adakah kerana silap dari segi pemakanan, gaya hidup atau penggunaan gajet tanpa pengawasan?

Jawapan menarik Encik Thaaqhib ialah, “Setakat ini, masih belum ada sebarang penemuan daripada hasil penyelidikan tentang punca Autisme ini, namun, yang pasti, tanggungjawab kita sebagai masyarakat dalam menangani isu ini bukanlah ‘MEMBAWANG’, meneka-neka punca Autisme adalah daripada itu, daripada ini… yang akhirnya boleh membuatkan ibu Autisme ini merasakan mereka bersalah dan telah melakuan kesilapan yang besar sepanjang membesarkan anak-anak mereka”.

“Jadi apa yang kita perlu buat sebagai masyarakat? Daripada kita berbincang mengenai punca Autisme, kita sepatutnya membincangkan SOLUSI yang kita boleh buat sebagai masyarakat umum”, sambungnya lagi.

Perbualan ini juga tidak ketinggalan mengupas peranan mahasiswa dalam menyokong isu Autisme di Malaysia oleh saudara Lukman, presiden salah satu persatuan pelajar yang terkenal di Kuala Lumpur.

“Ada 5K yang sering kita dengar tentang mahasiswa; kuliah, katil, kafe, k-pop dan ‘kapel’. Sikap tidak ingin ambil tahu dan tidak ambil berat tentang masalah yang dihadapi masyarakat haruslah diketepikan. Isu Autisme perlu diambil peduli oleh mahasiswa sebagai langkah persediaan sebelum menuju ke arah gerbang perkahwinan”.

Saudara Lukman juga telah menyatakan ketidakadilan untuk kita mengenepikan anak-anak istimewa ini daripada program-program keagamaan. Kita perlu sekali sekala mengadakan program-program bersama ibu bapa dan anak-anak syurga ini agar mereka tidak merasakan mereka disisih daripada masyarakat.

Klik video di bawah untuk mendengar rakaman penuh perbualan ini.

Masa Depan Autisme, Di Tangan Siapa?

Masa Depan Autisme, Di Tangan Siapa? (5/4/2018)

Posted by MySuara FM on Wednesday, April 4, 2018

Kami dari Buka Panggung ingin mengucapkan tahniah kepada MySuara fm dan PPIWP atas semangat membincangkan isu Autisme dan mewar-warkan diskusi dan tayangan filem Redha ini bagi mencapahkan lagi kesedaran membantu keluarga Autisme di Malaysia.

Benarlah kata-kata orang bijaksana;

“It takes a village to raise a kid.”