Ulasan Filem Andhadhun (2018)

Bermain dengan eksperimen moral dan kebetulan melalui penceritaan komedi gelap. Babak padat, tersusun dan diurus bertingkat-tingkat secara baik ini beri pengalaman kepada penonton untuk bersikap nakal dalam menyinggung kemanusiaan. Jangan terlalu serius, kali ni kita singgung moral sebentar.

Dengan mempertaruhkan premis buta dalam terang, penonton dibawa untuk mempercayai cerita di kedai kopi. Pun begitu, jika anda membuka mata dan telinga seluas-luasnya, tiada apa yang disembunyikan kerana pedomannya sudah di depan mata.

Tapi, biasalah. Semenjak zaman Adam sehinggalah dekat kiamat, manusia suka ditunjuk-tunjuk. Kita lebih gemar melihat pada hujung laras senapang jari yang menunjuk. Mata kita hanya berminat dengan indeks yang ditunjuk-tunjuk dan diberitahu.

Begitulah kita dipermainkan. Dan, tak nampak petunjuk yang sebenarnya bulat terbentang depan mata.

KISAH PEMUZIK YANG MALANG

Andhadhun mengisahkan seorang pemuzik yang cuba bereksperimen untuk melatih fokus mencipta sesuatu mukjizat dalam muziknya. Namun, tanpa disangka, beliau terjebak dalam kes homisid yang menjerumuskan ke dalam ‘rabbit hole’ yang gelap, kelakar dan bertimpa-timpa malang.